Sidang kemuncak ACES julung kali dianjur, tumpu tangani isu alam sekitar, sosial dan tata kelola (ESG)

KUALA LUMPUR – Transformasi utama dalam bidang iklim, makanan dan ekonomi kitaran perlu dilakukan bagi menangani alam sekitar, sosial dan tata kelola (ESG) dalam era ketidaktentuan kini.

Ahli Majlis Asia Corporate Excellence and Sustainability (ACES) Dr Jayanthi Desan berkata, tindakan terhadap ESG harus didasarkan pada pelbagai cabaran pada tahun 2024 termasuk pertumbuhan ekonomi makro yang semakin merudum dan kesan geopolitik.

“Dalam bidang iklim, kita telah menempuh perjalanan ini sejak beberapa tahun dan kini adalah masanya syarikat yang mengeluarkan pelepasan skop 1 dan 2 untuk melabur dalam teknologi nyah karbon.

“Manakala, dalam sektor makanan, jelas sekali ia memerlukan sistem pemakanan sihat, mampan dan berdaya maju dari segi ekonomi. Namun kami masih jauh daripada mencapai objektif ini. Bagaimana kami boleh mencipta pelaburan yang tepat ke arah ini?” katanya ketika ucap tama pada sidang kemuncak ACES 2023 yang diadakan buat pertama kali tahun ini.

Ahli Majlis Asia Corporate Excellence and Sustainability (ACES) Dr Jayanthi Desan.

Jayanthi yang juga rakan pengurusan syarikat kelestarian Aubrens, berkata bidang ketiga iaitu ekonomi kitaran yang memerlukan perhatian, adalah strategi utama untuk diterima pakai sebagai konsep iaitu rangkaian bekalan mampan, bahan serta corak baru yang menggunakan kurang sumber dan tenaga.

“Jika kita laksanakannya, kita boleh melakukan satu perubahan dalam semua bidang dan kami optimistik detik ini mampu dicapai.

“Kita boleh maju. Adalah tanggungjawab kita sebagai pemimpin dalam organisasi dan planet ini untuk melakukan perubahan sementara masih mempunyai masa dan saya mengalu-alukan perbincangan hari ini (semalam) yang akan merungkai lanjut penyelesaian yang kami harapkan,” tambah beliau.

Sidang kemuncak ACES diadakan bersempena Anugerah ACES yang dijadualkan pada  24 November.

Bertemakan “Bertindak Terhadap ESG Asean: Satu Visi untuk Kemajuan Mampan,” harapan delegasi dan ahli sidang kemuncak termasuk minat dalam memajukan usaha ke arah mencapai pelepasan sifar, minat dalam merangsang agenda perniagaan Asia dan keinginan untuk melakukan kesan positif serta melibatkan diri dalam sesi persidangan secara aktif.

Dalam mengalu-alukan delegasi, Pengerusi Sidang Kemuncak ACES Luis Bueno berkongsi beberapa amalan ESG di Eropah dan bagaimana syarikat Asia boleh memajukan amalan ini dengan mencontohi kisah kejayaan dan permintaan rangka kerja perundangan di seluruh dunia.

Sidang kemuncak bermula dengan perbincangan panel bertajuk, Pemboleh Utama untuk Transformasi Mampan yang memberi tumpuan terhadap pendekatan yang diambil oleh industri yang berbeza dalam merangsang transformasi mampan dan pengurusan perniagaan yang didorong tujuan.

Perbincangan meja bulat merangkumi pelbagai kategori termasuk inovasi dan teknologi, pembiayaan dan pelaburan serta modal insan. 

Sementara itu, Presiden Majlis ACES, Shanggari Balakrishnan berkata, antara isu yang dibincangkan dalam sidang kemuncak itu termasuk bagaimana perniagaan mengubah model masing-masing kepada ekonomi kitaran, peranan teknologi berinovatif dalam menjejak serta mengurangkan jejak karbon dalam rangkaian bekalan.

Presiden Majlis ACES, Shanggari Balakrishnan.

“Dalam pembiayaan bidang iklim pula, perbincangan bertumpu kepada struktur pembiayaan yang baru dan berinovatif yang sesuai dengan konteks ASEAN.

“Bagi modal insan, kami memberi tumpuan kepada pendekatan yang baru dan berinovatif terhadap pelaburan masyarakat, termasuk peranan perkongsian, ukuran kesan dan meningkatkan skala program yang berjaya, selain meningkatkan semangat bakat untuk merangsang agenda mampan,” katanya..

Sidang kemuncak terbabit berakhir dengan perkongsian hasil perbincangan meja bulat yang akan dirangkum sebagai laporan sidang kemuncak.

Source: https://klhype.com/